Minggu, 07 Agustus 2011

Syurga Menanti-mu dengan berbuat baik kepada ibu-bapa

(http://okethea.files.wordpress.com/2009/10/lukman-14-15.jpg?w=498&h=232 )

Ust. Abdul Kadir“Seorang Ibu mampu membesarkan anak yang ramai, namun anak yang ramai belum tentu mampu menjaga seorang ibu.”

Demikian ungkapan yang menggambarkan reality keadaan yang merentas masa. Kisah Si Tanggang, walaupun masih ada ruang untuk dikritik beberapa kepercayaan karut yang ada di dalamnya, namun reality hari ini mengiyakan wujud ramainya anak-anak yang menderhakai ibu bapa jauh sekali untuk berbuat baik kepada mereka berdua.

“Jaga orang tua susah… cerewet, macam budak-budak pun ada” dan bermacam lagi alasan yang biasa kita dengar. Ada pula yang bertelagah sesama adik beradik, siapa yang sepatutnya menjaga ibu dan bapa, lalu masing-masing mendatangkan seribu satu alasan bagi membuktikan mereka tidak layak dan sememangnya tidak wajar diberi tanggungjawab itu.

Ramai yang mengeluh jika perlu menjaga ibu atau bapanya yang sudah tua. Seolah-olah dia melupakan dirinya, suatu hari nanti dia juga akan menjadi tua dan lemah, dia seolah-olah lupa juga ketika itu dia amat mengharapkan ihsan dari anak-anaknya.

Menyedari hakikat berbuat baik kepada kedua ibu bapa, berbakti kepada mereka bukanlah sesuatu yang ringan dan mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar, maka dengan itu Islam menawarkan nilai pahala yang amat besar bagi yang melaksanakannya. Terdapat banyak hadith yang menunjukkan perkara ini. Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi:

رغم أنفه من أدرك والديه عند الكبر أحدهما أو كليهما فلم يدخل الجنة

Maksudnya: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.”[1]

Al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Hadith ini berupa galakan untuk berbuat baik kepada ibu-bapa dan besarnya pahalanya, maknanya berbuat baik kepada mereka berdua ketika mereka tua dan lemah dengan memberi khidmat atau nafkah atau selainnya menjadi sebab dapatnya memasuki syurga, dan sesiapa yang mengurangi perkara ini (berbuat baik kepada ibu-bapa), dia terlepas dari dapat memasuki syurga dan Allah menghinakannya.”[2]

Demikian betapa besarnya kedudukan berbuat baik kepada ibu-bapa sehingga ia menjadi sebab beroleh syurga ataupun neraka.

Di dalam al-Adab al-Mufrad[3] al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangai seorang lelaki dan bertanya:

إنِّي خَطَبْتُ امرَأةً فَأبَتْ أن تَنْكِحَنِيْ, وَخَطَبَهَا غَيْرِيْ فَأحَبَّتْ أن تَنْكِحَهُ, فَغِرتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا, فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قال: أُمُّكَ حَيَّةُ؟ قال: لَا, قال: تُبْ إلى اللهِ عَزَّوَجَلّ, وَتَقَرَّبْ إلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. قال عطاء من يسار: فَذَهَبْتُ فَسَألْتُ ابنَ عَباسٍ: لمِاَ سَألْتَهُ عَن حَيَاةِ أمِّهِ؟ فقال: إنِّيْ لَا أعْلَمُ عَمَلاً أقْرَبُ إلى اللهِ عَزَّوَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةْ.

Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, akan tetapi ia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain, dan wanita itu menerimanya, maka timbul perasaan cemburu aku terhadap wanita itu, lalu aku membunuhnya. Apakah bagi-ku ada peluang (diterima) taubat? Ibn ‘Abbas bertanya: “(Apakah) Ibu-mu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Kata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah A.Z.W.J. dan hampirkanlah diri kepada-Nya semampu-mu.” ‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?” Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah A.Z.W.J. lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”[4]

Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang dilakukan, kerana itu sahabat Nabi S.A.W. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya. Dari Abu Hurairah R.A. Nabi S.A.W. bersabda:

لاَ يَجْزِي وَلَدُ وَالِدَهُ إلا أنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Maksudnya: “Seorang anak tidak dikira dapat membalas kebaikan bapanya, melainkan jika dia mendapati bapanya menjadi hamba (kepada seseorang), kemudian dia membelinya dan memerdekakan bapanya itu.”[5]

Demikian betapa besarnya pengorbanan seorang bapa kepada anaknya. Sehingga seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan bapanya melainkan jika dia berjaya membebaskan bapanya dari menjadi seorang hamba.

Al-Sindiy di dalam Syarh Sunan Ibn Majah berkata tentang hadith ini:

“Ini kerana hamba itu umpama seorang yang binasa, maka seolah-olah dengan pembebasan itu, anaknya mengeluarkannya dari kebinasaan kepada penghidupan, maka jadilah perbuatan si anak itu menyamai perbuatan si bapa yang menjadi sebab kewujudannya daripada tiada kepada ada.”[6] Abdullah bin ‘Amr pula meriwayatkan:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يبايعه على الهجرة وترك أبويه يبكيان فقال: ارجع إليهما وأضحكهما كما أبكيتهما

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw hendak berbaiah untuk berhijrah, dia meninggalkan ibu-bapanya dalam keadaan mereka berdua menangis, lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Pulang kepada mereka berdua, dan ketawakanlah mereka semula sebagaimana kamu telah menjadikan mereka menangis.”[7] Daripada Abdullah bin ‘Amr juga katanya:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يريد الجهاد فقال: أحي والداك؟ قال: نعم, فقال: ففيهما فجاهِد:

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. hendak menyertai jihad, sabda baginda: “Apakah dua ibu-bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: “Ya”, sabda Nabi S.A.W.: Terhadap mereka berdua laksanakanlah jihat (untuk keredhaan mereka berdua).”

Hukum Berbuat Baik Kepada Ibu-Bapa

Di dalam al-Quran Allah S.W.T. berfirman:

ووصينا الإنسان بوالديه حسنا وإن جاهداك لتشرك بي ما ليس لك به علم فلا تطعهما

Maksudnya: “Dan kami telah mengarahkan (mewajibkan) manusia (berbuat) kebaikan kepada ibu bapanya, jika mereka berdua bersungguh-sungguh untuk engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak ada pengetahun, maka janganlah engkau mengikuti kedua-duanya.” (al-’Ankabut’:

Jika dilihat kepada ayat di atas, Allah S.W.T. menyuruh manusia berbuat baik kepada ibu bapa menyusul selepas arahan mentauhidkan-Nya, perkara yang sama diulang juga di dalam surah al-Baqarah[8], Luqman[9] dan al-Nisa[10]. Al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata:

“Allah Jalla wa ‘Ala menyebut di dalam ayat-ayat ini, (arahan) berbuat baik kepada ibu-bapa menyusul dengan (arahan) mentauhidkan-Nya dalam melakukan ibadah kepada-Nya, ia menunjukkan tuntutan yang bersangatan kepada kewajipan melakukan kebaikan kepada ibu-bapa.”[11]

Di dalam surah Luqman Allah berfirman:

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika kedua ibu-bapamu, memaksa-mu untuk mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang tidak ada pengetahuan-mu tentangnya, maka jangan kamu mengikut keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik…” (Luqman: 15)

Dari ayat ini jelas menunjukkan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa itu adalah suatu kewajipan walaupun mereka berdua tidak beragama Islam dan mereka berusaha bersungguhnya-sungguh hendak memurtadkan anaknya. Dalam keadaan sedemikian, sianak hanya diminta untuk tidak mentaati mereka dalam perkara syirik, namun ia tetap juga wajib menggauli mereka dengan baik. Jika demikian keadaannya, sudah semestinya berbuat baik kepada ibu-bapa yang muslim lebih utama walaupun mereka berada dalam serba kekurangan dari segi agama dan dunianya. Para ulama turut menekankan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ini merupakan suatu kewajipan yang sangat-sangat dituntut.

Syurga di Bawah Tapak Kaki Ibu.

Terdapat satu hadith yang masyhur diketahui oleh ramai orang iaitulah:

الجَنَّةُ تَحْتَ أقْدَامِ الأمَّهَات

Maksudnya: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki para ibu.” Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy (ابن عدي) dan al-’Aqiliy (العقيلي) di dalam al-Dhu’afa’ daripada Ibn ‘Abbas R.’anhuma. Tentang hadith ini al-’Aqiliy berkata ia Mungkar. Al-Albani pula berkata ia hadith Palsu[12].

Akan tetapi terdapat hadith lain yang membawa makna yang sama dengan hadith ini, iaitulah hadith dari Mu’awiyah bin Jahimah (معاوية بن جاهمة ) yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata:

يا رسول الله أردت أن أغزو، وقد جئت أستشيرك, فقالهل لك أم؟ قال: نعم. قال : فالزمها فإن الجنة تحت رجليها

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi perperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya.”[13]

Kesemua ayat al-Quran dan hadith-hadith bersama dengan huraian para ulama yang disertakan di atas menunjukkan kepada kita kepentingan berbuat baik kepada ibu-bapa. Memelihara ibu-bapa yang sudah tua, bukanlah suatu perkara mudah untuk dilakukan. Mudah-mudahan tulisan yang serba kekurangan ini dapat memberikan motivasi, sesungguhnya setiap perkara yang susah itu memiliki ganjaran yang cukup besar di sisi Allah S.W.T.

——————————————————————————–

[1] Sila lihat Sahih Muslim bawah bab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab
[2] Sila lihat Syarh Sahih Muslim
[3] Al-Adab al-Mufrad adalah tulisan al-Imam al-Bukhari selain Sahih al-Bukhari. Akan tetapi hadith-hadith di dalam kitab ini, al-Imam al-Bukhari tidak mensyaratkan sahih sepertimana hadith-hadith di dalam kitab sahihnya (al-Jami’ al-Sahih).
[4] Al-Suyuthi menyebut hadith ini di dalam al-Dur al-Manthur, dan al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah.
[5] HR Muslim
[6] Syarah Sunan Ibn Majah oleh al-Sindiy (2/388): melalui perantara Syarah Sahih al-Adab al-Mufrad
[7] Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah
[8]Al-Baqarah: 83
[9] Luqman: 15
[10] Al-Nisa: 36
[11] Muhammad Amin al-Syanqiti, Adhwa’ al-Bayan fi Iydah al-Quran bi al-Quran. jld. 3, m.s. 588
[12] Silsilah al-Ahadith al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah, jld 2, M.S. 59, Bil. Hadith: 593, Cet: Maktabah al-Maarif Riyadh
[13] Riwayat al-Nasa’I dan selainnya. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi, diperakui juga oleh al-Munziri. Al-Albani pula menghasankan isnad hadith ini


http://soaljawab.wordpress.com/2008/06/17/syurga-menanti-mu-dengan-berbuat-baik-kepada-ibu-bapa/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar